Fasha nafi seksi selepas berat badan turun 18kg

Fasha nafi seksi selepas berat badan turun 18kg

KUALA LUMPUR: Aktres jelita, Fasha Sandha, 39, mempunyai perancangan menambah cahaya mata, tahun hadapan.

Fasha atau nama sebenarnya, Nur Fasha Sandha Hassan, 39, berkata, suaminya yang juga pelakon Aidil Aziz menginginkan seorang lagi cahaya mata lelaki.

Bagaimanapun, Fasha berkata, hasrat suaminya itu terpaksa ditangguhkan buat masa ini kerana sibuk menjalani penggambaran.

“Insya-Allah, saya merancang menambah seorang lagi cahaya mata, tahun depan. Suami minta tahun ini, tetapi komitmen tidak membenarkan saya untuk hamil.

“Suami sebenarnya nak sangat anak lelaki, supaya anak-anak jadi dua pasang.

“Saya sudah ada dua anak perempuan dan seorang anak lelaki, jadi eloklah jika kami menambah seorang lagi anak bayi lelaki,” katanya kepada BH Online.

Sementara itu, Fasha menolak dakwaan semakin seksi selepas berjaya menurunkan berat badan sebanyak 18 kilogram (kg).

Fasha berkata, dia sekadar memakai semula pakaian lama sebelum berat badan naik dahulu.

“Mungkin karakter saya sebagai Datin Safia iaitu seorang yang ‘daring’. Masa saya bulat dahulu pun, saya masih sama, cuma orang tidak perasan.

“Orang nampak kelainan kerana baju lama saya sudah muat balik,” katanya pada acara Zumba With Fasha Sandha anjuran produk kecantikan jenama Berryfull di Setiawangsa, Kuala Lumpur, Sabtu lalu.

Mengambil masa lebih lapan bulan menurunkan berat badan sebanyak 18kg, Fasha berkata, dia hanya menjamah dua sudu nasi dan ikan sebagai sumber protein bersama produk makanan tambahan keluaran Inayah Beauty sepanjang proses mengurangkan berat badan.

“Alhamdulillah, saya dimaklumkan jualan produk mencanak dan berjaya terjual sebanyak 400,000 botol.

“Mereka merisik saya pada Ogos 2022, tetapi saya sendiri harus mencuba produk. Bila mencubanya dan lihat ada perubahan baik barulah saya bersetuju.

“Saya bersyukur produk ini meraih kutipan mencecah hampir RM20 juta dalam tempoh tidak sampai setahun bergelar duta,” katanya.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*