“Isteri Berhak Hidup Sihat Seperti Orang Lain” Suami Nekad Derma Buah Pinggang

Menjalani kehidupan suami isteri, menjadi impian setiap pasangan agar dapat mengharungi susah dan senang bersama-sama. Bukan mudah untuk membuat keputusan sukar apabila lagi bila ia melibatkan risiko nyawa.Namun tetap rela berkorban dengan ikhlas demi pasangan tersayang.

“ISTERI BERHAK HIDUP SIHAT SEPERTI ORANG LAIN. SEBAGAI SUAMI, SAYA NAK DIA HIDUP BAHAGIA,” KATA MOHAMAD AL BUKHARI ELLIA ATAU MESRA DISAPA BUKHARI.

Bukhari, 25, mendapat tumpuan ramai kerana kesudiannya mendermakan buah pinggang kiri kepada isteri, Nurul Hasanah Salim, 31, menerusi prosedur transplan, 12 Mei lalu.

Hasil ikhtiarnya dan dengan izin Allah, Nurul Hasanah kini tidak lagi menderita akibat penyakit buah pinggang.

Komplikasi Buah Pinggang
Berkongsi kisahnya, Bukhari berkata, dia diijabkabulkan dengan Nurul Hasanah pada 25 September 2020 dan hanya dapat menjalani kehidupan normal sebagai pasangan suami isteri selama seminggu sebelum isterinya dikejarkan ke hospital akibat komplikasi teruk pada buah pinggang.

Bukhari mengakui sedih dan terkesan dengan keadaan isterinya itu namun cuba berlapang dada dengan menganggap ia sebagai ujian Allah SWT.

Nekad Jalani Transplan Buah Pinggang
Menurutnya, ada juga segelintir pihak yang mempersoalkan keputusannya namun dia nekad kerana sudah berfikir panjang dan mempertimbangkan kesannya.

Meskipun perlu menunggu dua tahun untuk menjalani transplan buah pinggang, Bukhari bersyukur kerana layak menjadi penderma selepas melepasi saringan ditetapkan malah puas dapat membantu insan tercinta.

“Ramai juga tanya dengan saya mengapa saya nak dermakan buah pinggang dan tak takut ke memandangkan masih muda.

“JUJURNYA MEMANG GEMENTAR KERANA IA SOAL HIDUP DAN MATI MALAH SAYA SAMPAI TULIS WASIAT TETAPI CEKALKAN HATI DEMI ISTERI.

“Lagipun organ yang saya ada itu adalah pinjaman Allah SWT, jadi apa salahnya derma buat isteri yang memerlukan.

“Dua kali juga pemindahan buah pinggang itu hampir gagal kerana komplikasi ketika cuba masukkan organ ke saluran pundi namun akhirnya berjaya.

“Cuma isteri ditidurkan selama dua hari selepas prosedur itu,” katanya yang mencari rezeki di Tapak Gerbang Malam, Pusat Bandar Bagan Serai, Perak.

Keadaan Isteri Bertambah Baik
Menceritakan perkembangan terkini, Bukhari berkata, keadaan isterinya bertambah baik dan kini menjalani rawatan susulan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Dia juga dalam usaha menjaga pemakanan dan tidak terlalu aktif dengan aktiviti lasak seperti disyorkan doktor.

Berhubung perkongsian di TikTok, Bukhari tidak menyangka video dimuat naiknya akan dapat perhatian netizen hingga tular dan meraih hampir sejuta tontonan.

“Bagi saya, transplan buah pinggang satu prosedur biasa memandangkan ramai lagi di luar sana buat yang sama dan niat kongsi video di TikTok adalah untuk jadikan kenangan.

“Tak sangka akan tular malah ramai tonton video itu luahkan rasa sedih dan mendoakan selain DM (hantar kiriman mesej),” katanya.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*