Sekumpulan lelaki asing bawa kayu hoki serang wanita di kedai

PETALING JAYA – Tular rakaman sekumpulan lelaki asing membawa beberapa batang kayu hoki ketika menyerang seorang wanita di sebuah kedai.

Difahamkan kejadian tersebut berlaku di Kajang, Selangor.

Menerusi video berdurasi 52 saat yang dikongsikan beberapa pengguna media sosial termasuk akaun Twitter @Malaysia Most Viral hari ini, rakaman itu memaparkan beberapa adegan pergelutan serta kedengaran suara wanita menjerit menghalau kumpulan lelaki tersebut.

“Hei kau keluar,kau keluar,” jerit wanita terbabit yang berada di hadapan kedai berkenaan.

Dalam pada itu, kedengaran juga suara orang awam lain yang meminta sekumpulan lelaki asing terbabit segera beredar dan mengugut untuk menghubungi pihak polis.

Kemudian, kesemua mereka akhirnya beredar dari kedai berkenaan dengan menaiki tiga kenderaan secara berasingan.

Video yang tular itu turut mendapat perhatian ramai dan menggesa pihak polis menjalankan siasatan berhubung kejadian tersebut.

“PDRM (Polis Diraja Malaysia), JIM (Jabatan Imigresen Malaysia), apa lagi? Bertindak segera, dah ada video sebagai bukti, siasat dan tangkap,” tegas @alimuddin.

“Orang asing ini makin hari makin besar kepala, makin gengster, tangkap, hantar balik negara asal, halang terus dari masuk negara Malaysia,” ciap “lulla.

“Inilah bahana bila rakyat asing ramai di Malaysia, lebih banyak ancaman keselamatan dan jenayah terdedah kepada warga tempatan,” kata @dollah65B. – KOSMO! ONLINE

Oleh KOSMO!
20 Julai 2023, 2:47 pm

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*